FOTO HIASAN
AFP

PARIS: Sebuah mahkamah di Perancis menjatuhkan hukuman penjara lima hingga 30 tahun terhadap lima anggota militan wanita yang gagal meletupkan bom kereta di luar Gereja Notre-Dame, Paris pada 2016.

AFP melaporkan, ia adalah kes pertama membabitkan sekumpulan wanita yang merancang serangan di negara itu selepas menjadi sasaran militan sejak 2015 hingga mengorbankan 255 nyawa.

Lima wanita berusia antara 22 dan 42 tahun itu ditahan selepas sebuah kereta yang penuh dengan muatan silinder gas diletakkan berhampiran gereja terbabit pada 4 November.

Dua defendan utama, Ines Madani dan Ornella Gilligmann mencurah diesel pada kereta terbabit sekitar tengah malam namun gagal menyalakan api menggunakan rokok.

Semua wanita terbabit dipercayai mengikut arahan Rachid Kassim, seorang propaganda Daesh yang turut disyaki mengarahkan pembunuhan pasangan polis Perancis di rumah mereka pada Jun 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 1:13 PM