KEMATIAN paling ramai di wilayah Fukushima, utara Tokyo.
Reuters

TOKYO: Angka kematian akibat Taufan Hagibis dilaporkan meningkat kepada 58 orang hari ini manakala anggota penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang hilang.

Ribut kuat yang melanda bahagian tengah dan timur Jepun itu menyebabkan 15 penduduk hilang dan 211 orang cedera selepas tiga hari dibadai taufan yang membawa angin kuat dan hujan lebat, lapor stesen televisyen NHK.

Reuters melaporkan, kematian paling ramai adalah di wilayah Fukushima, utara Tokyo selepas tebing di 14 kawasan sepanjang Sungai Abukuma dilaporkan pecah.

Sekurang-kurangnya 18 orang maut di wilayah itu termasuk seorang ibu yang terperangkap dalam banjir bersama dua anak dan kematian salah seorangnya disahkan semalam manakala seorang lagi masih hilang.

Setakat ini, ribuan anggota polis, bomba dan tentera berusaha melakukan operasi mencari mangsa yang mungkin dihanyutkan dan ditimpa tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 10:21 AM