SYILING emas kerajaan Islam era Bani Umaiyah yang akan dilelong. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Syiling emas kerajaan Islam era Bani Umaiyah yang dianggap syiling paling berharga dan jarang ditemui akan dilelong bulan ini, dengan jangkaan harganya boleh mencapai £1.6 juta (RM8.4 juta).

Syiling dinar emas bertarikh 723 Masihi itu diperbuat daripada emas yang dilombong dari lombong milik Khalifah Yazzid II di kawasan antara Madinah dan Makkah dikenali sebagai Ma’din Bani Sulaim.

Yazid II ialah khalifah kesembilan Bani Umaiyah yang memerintah dari 720 hingga 724 Masihi dan lombong Ma’din Bani Sulaim masih beroperasi sehingga kini.

Syiling itu mempunyai tulisan, termasuk kalimah ‘LailahaillAllah’ berukuran hampir sama dengan syiling £1 Britain. Morton & Eden yang menguruskan lelongan pada 24 Oktober ini di London, menganggar syiling itu dapat dijual dengan harga antara £1.4 (RM7.4 juta) dan £1.6 juta.

Menurut Daily Mail, pada syiling itu turut tertulis ‘Dilombong dari lombong Pemerintah Yang Patuh.’

Hanya kira-kira sedozen syiling itu masih ada sekarang dengan sebahagian besarnya milik koleksi peribadi atau muzium terkemuka.

Menurut coinsweekly.com, ia adalah syiling dinar emas Bani Umaiyah kedua akan dijual. Syiling pertama dilelong pada April 2011 dengan harga £3.7 juta (RM19.5 juta).

Pakar Morton & Eden, Stephen Lloyd berkata, syiling itu amat bernilai sebagai dokumen sejarah dan pengkaji dapat mengenal pasti lombong emas khalifah itu ialah Ma’din Bani Sulaim, dekat Makkah.

“Emas dilombong di situ sejak ribuan tahun lalu dan lombong berkenaan masih beroperasi hingga kini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 7:57 AM