EASTMAN dipenjara selepas didakwa bunuh pegawai polis. FOTO Agensi
AFP

CANBERRA: Seorang pakar ekonomi yang tersilap dipenjara hampir dua dekad kerana pembunuhan seorang pegawai polis kanan diberi pampasan lebih A$7 juta (RM19.8 juta) semalam.

Bekas kakitangan awam itu, David Eastman dipenjara seumur hidup selepas didapati bersalah membunuh pegawai Polis Persekutuan Australia Colin Winchester pada 1995.

Eastman, 74, yang berulang kali menegaskan dia tidak bersalah dan memfailkan beberapa rayuan, akhirnya dibebaskan pada 2014 selepas sabitan akhirnya dibatalkan.

Dia menuntut pampasan sekurang-kurangnya A$18 juta (RM50.9 juta) daripada kerajaan Ibu Negara Wilayah Persekutuan Australia (ACT) di Mahkamah Agung.

Eastman dalam tuntutannya sebelum ini memberitahu mahkamah, dia bukan saja hilang peluang mendirikan keluarga dan mencapai cita-citanya, malah ibu dan beberapa adik-beradiknya juga meninggal dunia sepanjang dia dipenjarakan.

Mahkamah diberitahu, dia juga menyaksikan pembunuhan ketika penahanannya, selain masih mengalami masalah penglihatan pada sebelah mata selepas diserang seorang banduan lain pada 2006.

Peguamnya Sam Tierney memberitahu media di luar mahkamah, anak guamnya ‘amat gembira’ dengan keputusan berkenaan.

“Sebahagian besar hidupnya musnah. Sudah pasti dia mempunyai perancangan sendiri mengenai cara membelanjakan wang pampasan ini,” katanya.

Tidak jelas sama ada kerajaan ACT akan merayu keputusan itu. Kes itu menelan belanja lebih A$30 juta (RM85 juta), lapor badan penyiar ABC.

Winchester ditembak mati ketika keluar dari keretanya berhampiran rumahnya di Canberra pada 1989. Sehingga kini pembunuhnya belum dikenal pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 7:27 AM