KANAK-KANAK turut bantu membersihkan kawasan perumahannya yang banjir susulan Taufan Hagibis di Marumori, Miyagi. FOTO Reuters
Reuters

TOKYO: Puluhan ribu askar serta anggota penyelamat dikerahkan untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas akibat taufan dianggap antara yang terburuk melanda negara itu sejak beberapa dekad, yang meragut sekurang-kurangnya 23 nyawa.

Badan penyiar NHK melaporkan 16 orang hilang manakala kira-kira 166 orang cedera akibat taufan yang mengakibatkan banjir di kawasan rendah di timur dan tengah Jepun, selain mengakibatkan hampir setengah juta rumah terputus bekalan elektrik.

Lebih 800 penerbangan turut dibatalkan di lapangan terbang Narita dan Haneda di Tokyo, manakala perkhidmatan kereta api laju Shinkansen atau ‘bullet train’ juga terjejas.


ANGGOTA penyelamat menyelam memeriksa kawasan perumahan yang banjir di Kawasaki, Jepun. FOTO Reuters

Kira-kira 27,000 anggota pasukan pertahanan Jepun, bomba, polis dan pengawal pantai dikerahkan menyelamatkan orang ramai yang terkandas di Nagano, tengah Jepun.

Kira-kira 425,000 rumah terputus bekalan elektrik, kata kerajaan, mencetuskan kebimbangan penduduk berdepan masalah itu selama beberapa minggu seperti berlaku bulan lalu ketika taufan lain melanda timur Jepun.

Menurut NHK kerosakan sebenar masih belum dapat dipastikan kerana banyak kawasan masih ditenggelami air.

Pihak berkuasa menarik balik amaran hujan untuk kawasan Kanto di sekitar Tokyo, di mana kedai sudah mula dibuka semula manakala kereta api turut kembali beroperasi. Bagaimanapun, orang ramai diingatkan kemungkinan air sungai di timur Jepun melimpah dan mengakibatkan kerosakan lanjut.

Sementara itu, di Fukushima, Tokyo Electric Power Co (Tepco) melaporkan bacaan tidak sekata daripada alat pengesan yang memantau tahap air di loji nuklear Fukushima Daiichi, yang musnah akibat gempa bumi dan tsunami besar pada 2011.


ASKAR menggendong penduduk ketika operasi menyelamat di Motomiya, Fukushima. FOTO Reuters

Jurucakapnya Emi Iwasa berkata, taufan itu mencetuskan 11 amaran kebocoran di loji itu. Lapan disahkan dicetuskan akibat air hujan manakala selebihnya masih disiasat, katanya.

Katanya, belum ada pengesahan sama ada berlaku kebocoran air radioaktif ke laut.

Hagibis, yang bermaksud ‘kelajuan’ dalam bahasa Tagalog, mendarat di pulau utama Jepun, Honshu, lewat Sabtu sebelum menghala ke laut, semalam.

NHK menyiarkan rakaman menunjukkan sebahagian besar kawasan perumahan ditenggelami air di timur dan tengah Jepun dengan kerosakan terburuk dilaporkan akibat sungai Chikuma melimpah di Nagano.

Helikopter tentera juga dilihat menyelamatkan orang ramai yang terkandas di atap kediaman yang terletak berhampiran sungai termasuk ada yang memeluk anak mereka.

Di Kawagoe, penghuni rumah orang tua diselamatkan menggunakan bot dari lokasi itu yang dibanjiri air. Penyelamat turut mencari mangsa yang mungkin terselamat dalam tanah runtuh di Tokyo dan Fukushima.

Pihak berkuasa sebelum ini mengarahkan lebih 6 juta penduduk di sekitar Jepun berpindah sebagai persediaan menghadapi taufan dipercayai yang terkuat melanda Tokyo sejak 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 7:30 AM