SEORANG lelaki tua digendong keluar dari rumahnya yang dibedil roket di Akcakale, Turki, berhampiran sempadan Syria. FOTO AFP
AFP

BEIRUT: Sekurang-kurangnya 14 orang awam terbunuh akibat pertempuran di utara Syria, yang kini menjadi sasaran tentera Turkish terhadap pasukan Kurdish, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Antara yang maut termasuk lima orang yang terbunuh apabila penentang pro-Turki melepaskan tembak terhadap kereta dinaiki mereka berhampiran Ain Issa, kata badan pemantau itu.

Keseluruhannya, lebih 50 orang awam terbunuh di Syria sejak lima hari lalu, manakala kematian awam di Turki dilaporkan mencecah 18 orang.

Sementara itu, ratusan keluarga anggota Daish dilaporkan melarikan diri dari kem penahanan dalam pada jumlah orang yang menyelamatkan diri daripada serangan Turki itu meningkat kepada 130,000 orang.

Kenyataan dikeluarkan Pentadbiran Kurdish berkata: “Serangan Turki berhampiran kem di Ain Issa, di mana ribuan keluarga Daish ditempatkan. Ada yang berjaya melepaskan diri daripada serangan yang menyasarkan kem itu.”

Menurutnya, kem berkenaan kini tiada pengawal dan 785 anggota keluarga ahli Daish sudah melarikan diri.

Kira-kira 12,000 anggota Daish terdiri daripada warga Syria, Iraq dan rakyat 54 negara lain dipercayai ditahan di penjara Kurdish, mengikut statistik rasmi.

Kem penahanan turut mempunyai 12,000 rakyat asing, iaitu 8,000 kanak-kanak dan selebihnya wanita.

Pihak berkuasa Kurdis dan kuasa asing memberi amaran serangan berkenaan mampu menyukarkan perang terhadap Daish dan membuka ruang untuk mereka melarikan diri daripada tahanan.

Kumpulan bantuan kemanusiaan memberi amaran kemungkinan berlaku bencana kemanusiaan sekali lagi dalam perang lapan tahun Syria jika serangan Turki tidak dihentikan.

Jurucakap agensi bantuan kemanusian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OCHA, Jens Laerke berkata: “Kami bersedia untuk kemungkinan sehingga 400,000 orang hilang tempat tinggal di kawasan terjejas.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Oktober 2019 @ 7:15 AM