HAGIBIS dijangka melanda daratan di pulau Honshu lewat hari ini. FOTO AFP
Reuters

TOKYO: Puluhan ribu penduduk di Jepun dinasihatkan berpindah kerana bimbang risiko banjir ketika taufan Hagibis dijangka melanda pada lewat hari ini dengan membawa hujan paling lebat dan angin paling kencang dalam tempoh 60 tahun.

Beberapa pihak berkuasa wilayah mengeluarkan nasihat berpindah di kawasan berisiko termasuk yang padat dengan penduduk di daerah di Tokyo, kata stesen penyiaran NHK.

Hagibis dijangka melanda daratan di pulau Honshu lewat hari ini hampir sebulan selepas satu lagi taufan kuat melanda Jepun yang memusnahkan 30,000 rumah.

NHK melaporkan, angin kencang yang mula melanda wilayah Chiba pada awal pagi tadi menyebabkan bumbung beberapa rumah rosak dan empat penduduk cedera.

Kedai, kilang dan sistem kereta api turut ditutup sebagai langkah berjaga-jaga manakala perlumbaan Formula 1, Grand Prix Jepun pada hari ini turut dibatalkan.

Dua perlawanan Piala Dunia Ragbi yang dijadualkan pada hari ini juga dibatalkan.

pix wires

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 10:51 AM