Roberto Lopez amat dikehendaki polis. FOTO Agensi
Agensi

FLORIDA: Seorang lelaki diburu polis selepas merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun hingga menyebabkan mangsa berada dalam keadaan kritikal di hospital.

Roberto Lopez, 40 seorang buruh dari Immokalee dengan rekod jenayah membabitkan serangan ganas amat dikehendaki polis susulan serangan terhadap mangsa.

Pejabat Sheriff Collier County turut meminta bantuan orang ramai mengesan suspek yang sebelum ini dilabelkan sebagai ‘haiwan’ menerusi satu hantaran di Facebook.

“Lelaki ini adalah iblis dan tidak boleh dibiarkan bebas,” kata Sherif Kevin Rambosk di akaun Facebook milik pejabatnya.

Portal ClickOrlando melaporkan, pihak berkuasa tidak memperincikan butiran serangan dialami mangsa namun memberitahu, kanak-kanak malang berkenaan kini berada dalam keadaan kritikal susulan kecederaan parah dialami.

Menurut pejabat sherif, Lopez yang memiliki ketinggian 170 sentimeter dan berat 81 kilogram menggunakan pelbagai nama samaran dan dikenali sebagai pengunjung tetap beberapa bar.

Semakan ke atas rekod tahanan suspek pula mendapati dia sering keluar masuk penjara sejak 16 tahun lalu akibat pelbagai kesalahan jenayah, termasuk memandu tanpa lesen, dadah, serangan seks, keganasan domestik dan penipuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 10:14 AM