TIGA daripada empat ibu di negara Afrika mengadu menjadi mangsa penganiayaan ketika melahirkan anak di hospital. FOTO Agensi
Agensi

LONDON: Ditampar, diherdik, dipersenda dan diabaikan adalah antara penderaan yang dialami wanita di beberapa negara di Afrika dan Asia ketika melahirkan anak di hospital.

Satu kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati tiga daripada empat wanita di negara berkenaan mengadu menjadi mangsa petugas kesihatan dan doktor.

Kajian di pusat kesihatan di Nigeria, Myanmar, Ghana dan Guinea juga mendapati ramai ibu dibedah termasuk di bahagian kemaluan yang dijalankan tanpa kebenaran mereka.

Walaupun kajian itu yang disiarkan di jurnal perubatan The Lancet hanya dijalankan di negara berkenaan, penyelidik percaya layanan seperti itu turut berlaku di seluruh dunia.

“Layanan ketika melahirkan anak itu boleh dianggap sebagai melanggar hak asasi manusia dan menjadi faktor ibu enggan mendapatkan rawatan di hospital,” kata penulis laporan itu.

Penyelidik mengikut lebih 2,000 wanita ketika berada di dewan bersalin dan menemu ramah lebih 2,600 ibu selepas melahirkan anak.

Kira-kira 42 peratus daripada responden melaporkan penganiayaan secara verbal dan fizikal atau diskriminasi ketika melahirkan anak.

Sebahagian wanita mengadu ditumbuk, ditengking dan dipegang secara paksa oleh petugas kesihatan.

Petugas kesihatan dan doktor mendakwa wanita berkenaan enggan memberi kerjasama dan menjadikan penganiayaan fizikal dan verbal itu sebagai satu bentuk hukuman.

Pegawai kesihatan berkata, layanan buruk terhadap wanita ketika melahirkan anak berlaku di seluruh dunia termasuk di negara membangun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 7:28 AM