GAMBAR diambil dari rakaman video menunjukkan penyerang berkenaan melepaskan tembakan di luar lokasi. FOTO AFP
AFP

HALLE (JERMAN): Seorang lelaki ditahan selepas menembak mati dua orang dalam serangan anti-Yahudi di sebuah pusat ibadat pada hari perayaan suci Yom Kippur dengan kejadian disiarkan secara langsung di Internet.

Suspek warga tempatan yang dikenali sebagai Stephen B merakam dirinya menghamun wanita dan Yahudi sebelum serangan itu, tidak ubah seperti dilakukan penyerang masjid di Christchurch, New Zealand, pada Mac lalu.


ORANG ramai meletakkan bunga di lokasi kejadian. FOTO Reuters

Video selama 35 minit itu diperoleh AFP tetapi tidak disahkan pihak berkuasa.

Dalam video berkenaan, penyerang yang berbahasa Inggeris dengan loghat Jerman mengutuk Yahudi dan mendakwa Holocaust tidak berlaku.

Dia kemudian dilihat cuba merempuh pintu kuil berkenaan dan menembak mati seorang wanita. Dia seterusnya cuba meletupkan pintu pagar tanah pengebumian Yahudi berhampiran menggunakan letupan, tetapi gagal.

Akhirnya dia dilihat menembak ke arah pengunjung restoran kebab kira-kira 600 meter dari kuil berkenaan.

Menteri Dalam Negeri Horst Seehofer berkata: “Tiada bukti kukuh menunjukkan suspek bermotifkan fahaman ekstremis berhaluan kanan.”

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 6:56 AM