ALUA Asetkyzy Abzalbek
Agensi

NUR-SULTAN: Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut selepas telefon pintarnya meletup di atas bantal ketika dia tidur.

Alua Asetkyzy Abzalbek dilaporkan mahu tidur sambil memasang muzik dari telefonnya di rumahnya di Bastobe, Kazakhstan, Namun, keesokan harinya, dia ditemui mati selepas bateri telefonnya meletup.

Polis melaporkan, peranti dipasang ke soket kuasa untuk mengecas bateri telefon.

“Mangsa dipercayai mengalami kecederaan teruk di kepala dan meninggal dunia serta-merta.”

Saudara terdekat menghubungi paramedik namun mereka hanya dapat mengesahkan kematiannya.

Pakar forensik mengesahkan, telefon bimbit berkenaan meletup pada awal pagi disebabkan terlalu panas akibat dicas elektrik.

Kematiannya digambarkan sebagai tragis sementara jenama telefon pintar itu tidak didedahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 7:37 AM