BEBERAPA bangunan dibakar dalam demonstrasi terbaru oleh penunjuk perasaan.
Reuters

JAKARTA: Pihak keselamatan Indonesia hari ini, cuba memulihkan keadaan di wilayah Papua selepas laporan media mendakwa beberapa bangunan dibakar dan tembakan dilepaskan dalam demonstrasi terbaru oleh penunjuk perasaan.

Ketua polis daerah, Toni Ananda yang dipetik agensi berita Antara berkata, terdapat kekacauan yang berlaku di Wamena iaitu bandar terbesar di kawasan tanah tinggi di Papua, lapor Reuters.

Agensi berita itu yang turut memetik seorang lagi sumber berkata, lapangan terbang juga terpaksa ditutup.

Manakala jurucakap polis, Dedi Prasetyo berkata, situasi itu sedang dikawal polis dan tentera supaya ia tidak merebak dan menjadi lebih parah.

Menurutnya, dia masih lagi menunggu laporan terkini berhubung situasi itu daripada pegawai di wilayah itu.

Bulan lalu, demonstrasi yang kadangkala bertukar ganas itu tercetus susulan serangan perkauman terhadap sekumpulan penuntut Papua di Surabaya selain mereka dilaporkan turut disembur gas pemedih api sebelum ditahan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 2:01 PM