UJIAN air kencing dapati suspek positif syabu. - Agensi
Agensi

JAKARTA: Baru berusia sembilan tahun namun seorang kanak-kanak di Lhokseumawe, Sumatera, tidak dapat menikmati kehidupan sebagai kanak-kanak kerana menjadi hamba ibu penagih dadah manakala bapa kaki judi yang memaksanya mengemis.

Setiap hari, kanak-kanak itu perlu membawa pulang sejumlah wang dan jika gagal akan dipukul ibunya yang ketagih syabu atau bapanya yang mahu berjudi.

Derita mangsa yang ditanggung sejak berusia enam tahun itu berakhir apabila ibu bapanya ditahan polis baru-baru ini.

Kelmarin, Pegawai Unit Siasatan Jenayah Lhokseumawe, Indra T Herlambang, dalam kenyataan berkata, siasatan mendapati mangsa dipukul jika mengutip kurang daripada 100,000 rupiah (RM29.60).

“Sebaik pulang, ibunya akan mengambil wang untuk membeli dadah dan ujian air kencing mengesahkan wanita terbabit positif syabu.

“Bapanya mengambil sebahagian lagi untuk berjudi,” katanya.

Kompas melaporkan, menurut Indra, mangsa mengemis di jalan raya dan kedai makan sekitar Lhokseumawe sejak berusia enam tahun dan pernah dipukul dengan cota serta dirantai.

Pasangan itu bagaimanapun, menafikan mendera anak mereka dan mendakwa kononnya tidak pernah menyuruh kanak-kanak itu mengemis.

Mereka memberi alasan merantai mangsa kerana budak itu enggan mengaji.

Kanak-kanak itu dihantar untuk pemeriksaan psikologi sebelum diserah kepada jabatan kebajikan sehingga perbicaraan ibu bapanya selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 11:00 AM