RATUSAN penunjuk perasaan berarak di jalanan Kaherah sambil melaungkan slogan ‘Pergi Sisi!”. - AFP
AFP

KAHERAH: Pasukan keselamatan Mesir melepaskan tembakan gas pemedih mata dan peluru hidup terhadap ratusan penunjuk perasaan anti-kerajaan di Sues, dekat sini, semalam, yang menuntut pengunduran Presiden Abdel Fattah al-Sisi serta kerajaannya yang didakwa terbabit dalam rasuah.

Dataran Tahrir di Kaherah yang menjadi pusat revolusi Mesir 2011, dikawal ketat oleh polis. Tunjuk perasaan juga diadakan di beberapa bandar raya lain.

Demonstrasi seperti itu sesuatu yang luar biasa selepas Mesir menguatkuasakan larangan perhimpunan dan tunjuk perasaan melalui undang-undang yang diperkenal pada 2013 oleh bekas Presiden Mohamed Morsi.

Jumaat lalu, ratusan penunjuk perasaan berarak di jalanan Kaherah sambil melaungkan slogan ‘Pergi Sisi!”. Pihak berkuasa menahan sekurang-kurangnya 74 orang.

Demonstrasi diteruskan semalam, selepas ahli perniagaan Mesir yang tinggal dalam buangan, Mohamed Aly, memuat naik seruan menuntut Sisi digulingkan di media sosial.

Minggu lalu, Sisi menafikan dakwaan rasuah itu. Sepanjang pemerintahannya, pihak berkuasa menahan dan memenjara kumpulan penentang, termasuk ulama, aktivis dan penulis blog.

Kerajaan Sisi melaksanakan pelbagai kawalan yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup sebagai sebahagian daripada syarat pakej pinjaman RM50 bilion dari Tabung Kewangan Antarabangsa pada 2016.

Seorang daripada setiap tiga rakyat Mesir hidup di bawah paras kemiskinan dengan pendapatan tidak sampai RM5.90 sehari.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 10:00 AM