RAHIMA menjadi contoh terbaik perjuangan pelarian Rohingya. - Agensi
Agensi

DHAKA: Rahima Akter menyembunyikan identitinya sebagai etnik Rohingya bagi membolehkannya memasuki universiti di Cox’s Bazar, Bangladesh, namun impiannya menamatkan pengajian berkecai selepas identitinya terbongkar dan digantung pengajian awal bulan ini.

Gadis berusia 20 tahun dari kem pelarian Kutupalong itu menjadi contoh terbaik perjuangan pelarian Rohingya untuk belajar kerana Bangladesh tidak membenarkan mereka memasuki sekolah atau kolej.

Menurut Al Jazeera, tahun lalu, agensi berita antarabangsa menyiarkan video temuramah dengan Rahima, memperkatakan mengenai impiannya sebagai etnik Rohingnya belajar dalam bidang hak asasi manusia agar boleh berjuang untuk masyarakatnya.

Hampir setahun selepas disiarkan, video itu menjadi tular menyebabkan Rahima yang mengikuti pengajian undang-undang, dibuang dari Universiti Antarabangsa Cox’s Bazar.

“Saya berada di kolej apabila video itu muncul di telefon orang ramai. Tiba-tiba semua orang bertanya kepada saya, ‘Kamu Rohingya?’.

“Ada yang memulakan kempen negatif, mendesak saya dihantar pulang,” katanya melalui telefon.

Menurutnya, dia menyembunyikan identitinya agar boleh belajar.

“Saya rasa bersalah namun tiada pilihan. Adakah belajar itu jenayah.

“Ia asas hak manusia. Bukan salah saya dilahirkan sebagai Rohingya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 9:30 AM