GAMBAR HIASAN
AFP

ATHENS: Seramai 10 pendatang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Athens kerana cuba menaiki kapal terbang menggunakan pasport yang diperoleh secara haram, kata polis Greek, hari ini.

Polis berkata, pendatang berkenaan masuk ke Greece tanpa dokumen sah dan tiba di Lapangan Terbang Eleftherios Venizelos semalam, menyamar sebagai pasukan bola keranjang dengan harapan penyamaran itu membolehkan mereka melepasi pihak berkuasa lebih mudah.

Mereka memakai pakaian sama, membawa beg sukan yang sepadan sambil membawa dua biji bola keranjang.

Tetapi polis sempadan yang menyedari pasport ditunjukkan itu diperoleh secara haram bertindak menahan kumpulan pendatang itu.

Menurut sumber polis, mereka adalah warga Syria yang berharap dapat mengembara ke Zurich menggunakan pasport Ukraine.

Kumpulan pendatang itu sudah beberapa kali tiba di Greece dan berusaha keras menyelinap ke sempadan Greek untuk pergi ke destinasi lain.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 11:52 PM