GAMBAR HIASAN
AFP

NEW DELHI: Pengawal pantai India berjaya menahan enam lelaki Myanmar dan merampas ketamin bernilai AS$42 juta (RM175.1 juta) selepas bertembung dengan kapal yang mencurigakan di Lautan Hindi berhampiran Pulau Nicobar.

Dadah seberat 1,160 kilogram ditemui selepas pesawat pengawal pantai mengenal pasti kapal berkenaan tidak menyalakan lampunya ketika belayar di Zon Ekonomi Eksklusif India, kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan.

Kru kapal terbabit tidak menjawab panggilan radio membuatkan pengawal pantai mendekatinya lalu menemui 57 karung guni yang mencurigakan.

“Selepas diperiksa, bahan mencurigakan itu adalah ketamin dan terdapat 1,160 paket seberat 1 kilogram setiap satunya di atas kapal itu,” kata kementerian itu.

Susulan itu, enam lelaki Myanmar bersama kargo dibawa ke Port Blair, ibu kota Kepulauan Andaman dan Nicobar untuk disoal siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 10:27 PM