GAMBAR HIASAN
AFP

DHAKA: Sepasang suami isteri Rohingya ditembak mati dalam kejadian tembak-menembak di bandar sempadan selepas mereka ditahan polis Bangladesh, menurut pihak berkuasa, hari ini.

Polis di bandar Teknaf berkata, pasangan pelarian Dil Mohammad, 32, dan isterinya Jaheda Begum, 26, adalah ahli kumpulan perompak Rohingya.

Pihak berkuasa mendakwa, kumpulan perompak itu membunuh seorang pegawai, Omar Faruk, di penempatan pelarian di tenggara Bangladesh bulan lalu.

Inspektor polis, Ali Arshad, berkata sekurang-kurangnya 13 pelarian Rohingya terbunuh dalam serangan senjata api antara penjenayah dan polis sejak pembunuhan Faruk pada 22 Ogos lalu.

“11 daripadanya terbabit dalam pembunuhan Faruk,” katanya tetapi mendakwa pasangan berkenaan tidak dituduh terbabit dalam kejadian itu.

Pegawai polis, Mohammad Babul memberitahu AFP, pasangan itu ditahan polis lewat malam semalam sekaligus membongkarkan tempat persembunyian kumpulan berkenaan namun, polis diserang hendap oleh kumpulan itu beberapa jam kemudian.

“Kami berbalas tembakan dan pasangan itu disahkan mati di hospital kerana mengalami kecederaan parah,” kata Babul.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 10:20 PM