RIBUAN penduduk Switzerland membantah 5G. FOTO/AFP
AFP

BERN: Ribuan orang membuat bantahan di Bern, semalam terhadap pemasangan teknologi tanpa wayar 5G di Switzerland yang dikhuatiri boleh menjejaskan kesihatan.

Pembantah yang kebanyakannya membawa sepanduk berhimpun di hadapan Parlimen bagi mendesak memberhentikan kerja pembinaan perkhidmatan itu.

Pengkritik di Switzerland menegaskan radiasi elektromagnetik dari sistem baru itu menimbulkan risiko terhadap kesihatan dan alam sekitar berbanding teknologi mudah alih sebelumnya.

Petisyen dalam talian berjaya mendesak kerajaan tempatan Geneva, Vaud, Fribourg dan Neuchatel untuk menunda pembinaan antena sebagai langkah berjaga-jaga.

Pembantah berusaha mengumpul sebanyak 100,000 tandatangan bagi mendesak referendum menyekat teknologi itu sehingga risikonya dinilai dengan sebaiknya.

Pihak berkuasa memberitahu AFP, sebanyak 334 stesen antena 5G sudah beroperasi pada awal Julai lalu di seluruh Switzerland.

Sebelum ini, Monaco menjadi negara pertama di Eropah untuk menggunakan rangkaian telefon bimbit 5G pada Julai lalu dan teknologi dibangunkan firma China, Huawei dianggap menjejaskan keselamatan oleh Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 10:48 AM