BARA dan Arang diselamatkan dalam sisa kebakaran hutan malah salah seekor daripadanya mempunyai peluru tertanam di kepala. FOTO International Animal Rescue/SWN
Agensi

JAKARTA: Sepasang orang utan ditemui dalam keadaan nyahhidrat dan masih berpaut pada beberapa pokok, malah lebih menyedihkan apabila seekor daripadanya mempunyai peluru ‘tertanam’ di dalam mukanya.

Daily Mail melaporkan, orang utan diberi nama Bara dan Arang itu dipercayai berusia 20-an diselamatkan Penyelamat Haiwan Kebangsaan (IAR) pada 16 September lalu dan disuntik sedatif sebelum dibawa pulang untuk dirawat di pusat konservasi.

Mereka dilaporkan ditemui berpaut pada pokok dengan keadaan keliling musnah akibat kebakaran hutan. Kompas melaporkan, peluru ditemui pada wajah seekor daripadanya adalah dari senapang angin.

Pengarah IAR Indonesia, Karmele Llano Sanchez dipetik berkata: “Sudah tiba masanya kita mengatasi masalah kebakaran, yang bukan saja mengancam manusia akibat jerebu tetapi juga orang utan dan habitatnya.

“Hampir dua bulan pasukan kami bekerja keras 24 jam sehari, tanpa rehat, untuk menjaga tapak pemulihan daripada terbakar, tetapi kerja menyelamatkan semua orang utan yang diancam kebakaran baru bermula.”

Bara dan Arang akan dilepaskan di Taman Negara Gunung Palung tidak lama lagi.

Lebih 9,000 orang bekerjasama mengatasi kebakaran di 812,000 ekar tanah di seluruh negara termasuk wilayah Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 7:00 AM