GAMBAR imbasan sinar X menunjukkan termometer yang tersumbat dalam pundi kencing. FOTO Urology Case Reports,
Agensi

BEIJING: Sekumpulan doktor mengeluarkan termometer dari pundi kencing seorang lelaki yang memasukkan objek itu menerusi kemaluannya kira-kira 11 hari sebelum mendapatkan rawatan di Shanghai, China.

Mail Online melaporkan, pemuda berusia 25 tahun itu mula panik selepas mendapati darah keluar melalui air kencingnya dan keadaan itu dikenali sebagai haemtuersis.

Dia kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Tongren sebelum mengaku memasukkan objek itu menerusi saluran kencing semata-mata untuk mendapatkan kepuasan seks.

Menurut laporan dalam jurnal, dia mendakwa tidak selesa dan cuba mengeluarkan termometer terbabit tetapi gagal.

Dia juga menyangkakan ia tidak begitu serius dan hanya boleh dikeluarkan dengan mudah namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Dr Haining Qian yang menulis Laporan Kes Urologi itu berkata, dia dan beberapa doktor menggunakan kaedah sama seperti mengeluarkan batu karang.

Mereka memasukkan tiub halus bersama kamera kecil ke dalam saluran kencing untuk melihat tempat objek itu berada sebelum mengeluarkannya dalam tempoh 15 minit.

“Ia perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelakkan termometer itu pecah serta melindungi lapisan pundi kencing daripada cedera,” tulisnya.

Termometer itu mengandungi merkuri yang boleh mendatangkan kesan kepada fungsi buah pinggang dan sistem saraf sekiranya pecah.

Kes pelik itu bukan kali pertama dilaporkan berlaku apabila November tahun lalu doktor mengeluarkan wayar elektrik yang bersimpul dari pundi kencing remaja berusia 18 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 September 2019 @ 6:01 AM