PASANGAN berkenaan memberi minum lima gelas kopi sehari kepada bayi mereka. - Agensi
Agensi

Polewali Mandar (Sulawesi Barat): Sepasang suami isteri remaja di Sulawesi Barat, Indonesia memberi minum lima gelas kopi sehari kepada bayi mereka berusia 14 bulan kerana tidak mampu membeli susu menyebabkan kanak-kanak itu kini ketagih minuman berkafein itu.

Kompas melaporkan, Sarifuddin dan isterinya Anita mendirikan rumahtangga dengan restu ibu bapa ketika masing-masing berusia 17 dan 15 tahun sebelum dikurniakan anak, Khadijah Aura.

Kedua-duanya bekerja kampung menyebabkan mereka sukar menampung kehidupan apatah lagi membeli susu bayi.

Anita sebelum ini dipetik Tribun berkata, anaknya tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.

“Biasa-biasa saja, tidak ada kelainan apa pun, malah anak saya kelihatan lebih lincah dan agresif daripada kanak-kanak lain,” katanya.


ANITA menerima bantuan susu selepas kisahnya menjadi tular di media sosial. - Agensi

Keluarga itu diberi bantuan susu oleh kerajaan tempatan baru-baru ini, yang prihatin dengan nasib mereka.

Susulan itu, Anita mengaku anaknya buat masa ini masih sukar menerima susu dan merengek meminta kopi, tetapi dia berazam membantu Khadijah mengatasi masalah itu dengan memberikannya air kosong serta biskut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Kesihatan Polewali Mandar, Suaib Nawawi berkata, kesukaran hidup mereka salah satu kesan perkahwinan muda apabila mereka sebenarnya belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Menurutnya, perkahwinan di usia muda masih banyak berlaku dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, kekurangan persediaan dari segi sosial, ekonomi dan psikologi menjadi faktor mereka kurang memahami cara mengasuh anak dengan baik.

“Anak kecil yang diberi minum kopi dalam tempoh lama berpotensi mengalami gangguan pada sistem saraf serta jantung.

“Ia juga boleh menyebabkan osteoporosis pada anak mereka,” katanya.

Keadaan kesihatan Khadijah setakat ini dilaporkan masih normal namun tindakan ibu bapanya sebelum ini dikhuatiri menjejaskan pertumbuhannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 7:46 AM