BOH ditangkap dua minggu selepas kejadian. Gambar kanan: Zhang. FOTO Agensi
Agensi

SINGAPURA: Seorang lelaki Malaysia didakwa mencekik mati wanita diminatinya sebelum cuba merogol mayat mangsa selepas berang cintanya tidak dibalas walaupun sudah menghabiskan wang yang banyak untuk mangsa.

Pekerja kafeteria, Boh Soon Ho, 51, yang sedang dibicarakan kerana membunuh jururawat warga China, Zhang Huaxiang di bilik sewanya pada 21 Mac 2016 menganggap mangsa sebagai teman wanitanya kerana mereka sering keluar dan makan bersama walaupun tidak pernah melakukan seks.

Perkara itu didedahkan dalam keterangan tertuduh kepada polis yang dibacakan ketika prosiding terhadapnya di Mahkamah Tinggi, lapor Today Online.

Boh dilaporkan mencekik Zhang sehingga mati menggunakan tuala sebelum membogelkan mayatnya dan mengambil gambar kerana rasa ingin tahu disebabkan tidak pernah melihat wanita itu tanpa pakaian. Dia kemudian cuba mengadakan seks dengan mayat itu tetapi tidak berjaya.

Straits Times melaporkan, Boh berang selepas Zhang mengaku keluar dengan lelaki lain malah masih berhubung dengan bekas teman lelaki yang pernah ditidurinya.

Susulan itu, pakar psikiatrik forensik Stephen yang memberi keterangan di mahkamah berkata, keadaan mental Zhang ketika itu ‘tenang, disengajakan dan difikirkan secara mendalam.’

Katanya, dia membuat penilaian dan mempertimbangkan pelbagai pilihan, termasuk menghubungi tuan rumah untuk memaklumkan dia mahu mengosongkan bilik sewa itu selain mengambil gajinya sebelum melarikan diri pulang ke kampung di Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:52 PM