AIRBNB bertindak memadam akaun dua wanita berkenaan di laman webnya dan menyiasat kes terbabit. FOTO hiasan
Agensi

WELLINGTON: Dua pelancong wanita China yang menyewa sebuah rumah di Dunedin menerusi Airbnb meninggalkannya dalam keadaan kotor dan busuk, selepas dijadikan tempat pelacuran selama dua minggu.

Kegiatan wanita berusia 20-an dan 40-an itu hanya diketahui pemilik rumah selepas dia pulang dari percutian selama dua bulan di Asia, baru-baru ini.

Menurut pemilik yang enggan namanya disiarkan, ketika di rumah, seorang lelaki mengetuk pintu mencari dua wanita berkenaan.

Lelaki itu bertindak agresif dengan mengugut pemilik apabila diberitahu wanita terbabit tiada di situ, lapor The Otago Daily Times.

Jiran yang menyaksikan kejadian itu kemudian mendedahkan melihat ramai lelaki keluar masuk kediamannya sepanjang dia bercuti.

Tukang paip yang memperbaiki pemanas di kediaman itu turut mengesahkan dua wanita berkenaan menjadikan tempat terbabit sebagai rumah pelacuran, lapor New Zealand Herald.

Dia mendakwa menyaksikan aktiviti maksiat wanita berkenaan ketika melakukan kerja pembaikan.

Menurutnya, dua wanita berkenaan tidur di bilik berasingan, menggunakan empat telefon dan beroperasi sepanjang malam.

Biarpun memperoleh bayaran A$1,640 (RM4,600) untuk penginapan selama dua minggu itu, pemilik terpaksa menanggung bil elektrik mencecah A$556 (RM1,600) untuk Ogos serta kos pembaikan pemanas dan pembersihan rumah.

Susulan itu, Airbnb sudah memadamkan akaun dua wanita berkenaan di laman webnya dan menyiasat kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 10:31 PM