VLADIMIR Putin
Reuters

MOSCOW: Seorang bomoh dari Siberia yang ditahan polis ketika berjalan kaki ke Moscow untuk menghalau Presiden Vladimir Putin dari Kremlin dihantar ke hospital psikiatri untuk penilaian.

Alexander Gabyshev mencuri tumpuan media apabila dia mula berjalan kaki ke Moscow yang sejauh lebih 8,000 kilometer pada Mac lalu.

Dia mengatakan mahu ke Moscow untuk menggulingkan pemimpin Russia itu yang digambarkannya sebagai setan.

Bagaimanapun, ‘misi’ Gabyshev dihentikan semalam selepas berjalan 3,000 kilometer apabila dia ditahan polis di sebuah lebuhraya di Siberia.

Dia ditahan kerana didakwa melakukan kesalahan jenayah di tempat asalnya, Yakutia.

Kementerian Kesihatan Yakutia dalam satu kenyataan hari ini berkata, Gabyshev sudah dihantar ke hospital psikiatri untuk pemeriksaan.

Penahanan Gabyshev dikritik Amnesty International yang menganggap tindakan pihak berkuasa Russia sebagai kejam meskipun kelakuan bomoh itu pelik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 7:47 PM