AL-Malki
Reuters

DUBAI: Arab Saudi bersama pakatan tenteranya melancarkan operasi ketenteraan di utara bandar Hodeidah, Yaman yang disifatkan sebagai ‘sasaran tentera yang sah’.

Reuters yang memetik pihak tentera berkata, mereka memusnahkan empat tapak yang digunakan untuk mengumpul bot kawalan jauh serta jerangkap samar laut untuk melindungi kebebasan maritim.

“Kawasan ini digunakan untuk melakukan serangan dan operasi pengganas yang mengancam laluan kapal dan perdagangan antarabangsa di Selat Bab al-Mandab dan selatan Laut Merah,” kata jurucakapnya, Kolonel Turki al-Malki dalam satu kenyataan.

Malam semalam, pakatan itu berkata ia berjaya memintas dan memusnahkan bot penuh dengan muatan bahan letupan yang dilancarkan oleh kumpulan Houthi dari Yaman.

Houthi yang mengancam untuk meluaskan serangan ke atas Arab Saudi sebelum ini mensasarkan kapal tangki di salah satu laluan paling penting dunia itu.

Insiden terbabit berlaku selepas Amerika Syarikat dan Arab Saudi mempertimbangkan untuk bertindak balas susulan serangan yang dilakukan terhadap kemudahan minyak Arab Saudi baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 2:24 PM