GAMBAR hiasan
AFP

SEOUL: Polis Korea Selatan akhirnya dapat mengenalpasti suspek kes pembunuhan bersiri terkenal negara itu, lebih 30 tahun selepas 10 pembunuhan pertama berlaku.

Suspek Lee Chun-jae, 56, dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya tiga pembunuhan, kata jurucakap Agensi Polis Daerah Gyeonggi Nambu, Ban Gi-soo.

Polis dapat mengenalpasti Lee selepas menggunakan teknik forensik terkini dengan mengambil semula asid deoksiribonukleik (DNA) dari kes jenayah lama.

Sampel bahan bukti termasuk seluar dalam mangsa yang didapati berpadan dengan suspek.

Antara 1986 dan 1991, lebih dua juta pegawai polis dikerah untuk memburu suspek yang merogol dan membunuh wanita di pedalaman Hwaseong, selatan Seoul.

Sepanjang tempoh itu, polis menyiasat kira-kira 21,000 individu dan membandingkan cap jari sekitar 20,000 orang, namun masih buntu.

Kes terbabit menjadi inspirasi kepada pencipta filem Korea Selatan, Bong Joon-ho untuk menghasilkan filem Memories of Murder yang ditayangkan pada 2013.

Buat masa sekarang, suspek menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana merogol dan membunuh iparnya pada 1994.

Bagaimanapun, Lee menafikan terbabit dalam kes pembunuhan bersiri Hwaseong dan polis tidak dapat mendakwanya kerana undang-undang sekatan sudah tamat.

Mangsa pembunuhan di Hwaseong terdiri daripada beberapa remaja perempuan dan seorang wanita warga emas berusia 70 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 1:47 PM