Agensi

BRISBANE: Seorang lelaki yang mengembara bersendirian di kawasan belukar di pedalaman Australia merangkak dua hari selepas kakinya patah akibat terjatuh enam meter di air terjun sebelum akhirnya diselamatkan.

Neil Parker, 54, patah kaki dan lengannya selepas terjatuh pada Ahad lalu ketika mengembara kawasan Cabbage Tree Creek di Gunung Nebo.

Dia yang juga pengembara berpengalaman menggunakan kayu sebagai penganduh tetapi terpaksa merangkak dengan harapan dapat menemui bantuan, lapor Mail Online.

“Saya sudah banyak kali mengembara kawasan air terjun itu, tetapi kali ini tergelincir menyebabkan saya terhempas ke atas beberapa batu sebelum jatuh ke dalam anak sungai di bawah.

“Saya cuba mencapai telefon bimbit di dalam poket untuk mendapat bantuan tetapi ia hilang kerana terlepas dari genggaman.


RAKAMAN menunjukkan Parker dibawa menaiki helikopter oleh anggota penyelamat. Gambar kecil, Parker. - Mail Online

“Kaki saya patah pada buku lali dan terjuntai menyebabkan saya terpaksa ‘membawanya’ sepanjang merangkak ke kawasan lebih terbuka dengan harapan dapat dilihat anggota penyelamat,” katanya dipetik The Telegraph.

Keluarganya dibantu rakan pengembara mencarinya pada Isnin sebelum dia akhirnya dilihat helikopter pihak berkuasa Queensland yang turut dikerahkan membantunya, pada petang Selasa.

“Saya tidak dapat merangkak jauh, hanya semeter atau satu meter setengah sebelum berehat kerana terlalu kesakitan. Bayangkan jaraknya cuma 3 kilometer, tetapi saya mengambil masa dua hari untuk meredahnya,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana membawa bekalan walaupun terhad, termasuk makanan seperti kekacang dan ubat tahan sakit, selain kawasan yang tidak kekurangan sumber air.

“Saya hanya terfikirkan keluarga terutama anak-anak. Saya mahu terus hidup untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:16 AM