GAMBARAN konflik nuklear menunjukkan bom dijatuhkan di bandar yang paling ramai penduduk. FOTO Agensi
Agensi

MOSCOW: Seramai 88.7 juta orang mati atau cedera dalam beberapa jam dan beberapa bandar di Amerika Syarikat (AS) dan Russia musnah, itulah senario menggerunkan sekiranya perang nuklear antara dua kuasa besar itu tercetus.

Menurut satu simulasi yang dicipta sekumpulan penyelidik, perang nuklear itu akan memberi kemusnahan besar terhadap manusia dan kesannya jangka panjangnya yang dahsyat.

Dalam video selama empat minit itu oleh pakar kejuruteraan dan hal ehwal antarabangsa Universiti Princeton, Alex Glaser dan rakannya, dalam tiga jam pertama perang tercetus, Eropah akan hancur dan kira-kira 2.6 juta orang akan terbunuh atau cedera.

Model berkenaan berdasarkan data realistik ke atas kuasa nuklear, sasaran dan anggaran korban yang diramalkan.

Untuk 90 minit berikutnya, beberapa bandar utama di AS dan Russia yang dihentam dengan lima hingga 10 bom nuklear, menyebabkan 88.7 juta lagi mati atau cedera.

Kebanyakan negara dalam model berkenaan turut menjadi sasaran langsung nuklear seperti yang ada di hemisfera selatan dan Scotland.

Letupan bom nuklear itu juga memberi kesan jangka panjang terhadap iklim Bumi, penduduk dan pengeluaran makanan.

Penyelidik berkata projek itu adalah bertujuan untuk menunjukkan akibat kemusnahan hasil perang nuklear kendalian tentera AS dan Russia.

“Risiko perang nuklear meningkat secara dramatik dalam tempoh dua tahun lalu.

“AS dan Russia sudah meninggalkan perjanjian kawalan senjata nuklear serta akan mengembangkan senjata nuklear baru dan meluaskan keadaan untuk membolehkan mereka menggunakan senjata nuklear,” kata penyelidik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 7:04 AM