GAMBAR hiasan
AFP

CAEN (PERANCIS): Seorang wanita Perancis maut selepas ditikam 14 kali oleh teman lelakinya di hadapan tiga anak mereka berumur enam, empat dan dua tahun, kata pendakwa raya di utara Perancis.

Lelaki berusia 37 tahun itu, membunuh kekasihnya berusia 27 tahun selepas wujud pertikaian berkaitan perpisahan mereka di utara bandar pelabuhan Le Havre, kata pendakwa raya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut kenyataan itu, tertuduh mengaku atas kejadian berkenaan dan bertindak sedemikian kerana takut mangsa akan menghalangnya daripada melawat anak-anaknya.

Mangsa maut serta-merta dan lelaki itu ditangkap orang ramai sejurus kejadian. Sumber polis berkata, pembunuhan itu berlaku di hadapan sebuah pasar raya.

Sebelum ini, suspek pernah ditahan polis kerana mengancam mangsa dengan sebilah pisau hingga mangsa terpaksa melarikan diri melalui tingkat namun suspek dilepaskan kemudian.

Menurut statistik kerajaan, seramai 121 wanita di Perancis dibunuh oleh pasangan atau bekas pasangan mereka tahun lalu, dengan nisbah satu kematian setiap tiga hari.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 9:16 PM