Agensi

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengaku kerajaannya cuai dalam menangani isu kebakaran hutan yang semakin parah sejak 2015 hingga mencetuskan jerebu teruk di Indonesia dan negara jiran.

Portal Mongabay melaporkan, kebakaran kali ini yang kebanyakannya dilakukan secara sengaja untuk membersihkan tanah pertanian, membabitkan kawasan seluas hampir 340,000 hektar sehingga 31 Ogos lalu.

“Menjelang cuaca kering, semua pihak sepatutnya bersedia. Namun, kami cuai sekali lagi pada tahun ini dan jerebu menjadi semakin teruk,” katanya.

Menerusi mesyuarat pada Julai lalu, dia turut mengingatkan pegawai memberi penekanan terhadap langkah pencegahan untuk menghalang kebakaran merebak hingga tidak dapat dikawal.

“Ini kerana, jika kebakaran berlaku terutama di tanah gambut, ia sukar untuk dipadamkan berdasarkan pengalaman kami beberapa tahun lalu,” katanya.

Manakala Kompas yang memetiknya sebelum ini berkata, titik api boleh dikesan dengan awal sekiranya kelengkapan diaktifkan secara berkesan.

“Kita memiliki semuanya tetapi kelengkapan ini tidak diaktifkan secara baik jika tidak saya yakin kita mengesan lebih awal daripada satu titik api sebelum ia menjadi ratusan titik api,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 2:42 PM