JOKOWI melakukan tinjauan di lokasi kebakaran hutan di Pekanbaru, Riau, semalam. FOTO AFP
Agensi

JAKARTA: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkata, kerajaannya melakukan semua usaha, termasuk mengerah 52 pesawat untuk memadam kebakaran hutan di negara itu yang menyebabkan jerebu teruk di Indonesia serta negara jiran, termasuk Malaysia dan Singapura.

Menurut Kompas, Jokowoi berkata, anggota tentera tambahan turut dikerah memadam kebakaran yang kini membabitkan 5,600 orang.

“Segala usaha sudah dilakukan dan saya sudah mengarahkan anggota tentera ditambah. Secara keseluruhannya, 5,600 anggota tentera dikerah sejak kelmarin.

“Kerajaan juga akan terus menggunakan bom air di lokasi kebakaran hutan dan tanah,” katanya di Pangkalan Tentera Udara Roesmin Nurjadin, Pekanbaru semalam.

Beliau melakukan tinjauan di lokasi kebakaran serta melihat persiapan pesawat untuk melakukan pembenihan awan kedua, selepas kali pertama pada Jumaat lalu.


GAMBAR yang diambil pada 16 September 2019 menunjukkan kebakaran di seberang jalan di Palangkaraya. FOTO AFP

Detik melaporkan, pasukan bantuan bencana pula menggunakan kaedah menyuntik bahan kimia ke dalam tanah di tempat pembuangan sampah di Antang, Makassar, untuk mempercepatkan proses pemadaman api.

Ketuanya, Ishak Andi Kunna berkata, bahan kimia dikenali sebagai flame freeze atau racun api yang dimasukkan dalam bekas berukuran dua meter sebelum dicampur air.

“Kita menyuntik bahan kimia itu sehingga dua hingga tiga meter ke dalam tanah.

“Ia kaedah khas untuk mempercepat proses pemadaman api di kawasan sampah yang mengandungi banyak gas metana,” katanya.


GAMBAR menunjukkan jerebu tebal di Palangkaraya, Kalimantan tengah. FOTO AFP

Sementara itu, AFP melaporkan, pihak berkuasa Indonesia menahan 185 orang kelmarin, kerana dipercayai terbabit dalam pembakaran hutan di negara itu

Jurucakap polis, Dedi Prasetyo pada sidang media berkata, empat syarikat turut dalam siasatan.

“Polis akan bertindak mengikut undang-undang terhadap pihak yang didapati bersalah membakar hutan dan tanah, tanpa mengira sama ada sengaja atau cuai.

“Ini langkah terakhir kerana paling penting adalah pencegahan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:37 AM