ANGGOTA keselamatan membawa mayat mangsa ke hospital. FOTO Reuters
AFP

KABUL: Serangan bom berdekatan perhimpunan kempen pilihan raya Presiden Afghanistan Ashraf Ghani di wilayah Parwan dekat sini, semalam, menyebabkan 24 terbunuh, dipercayai dilakukan penyerang nekad Taliban.

Penyerang menunggang motosikal dan meletupkan bom di sekatan jalan raya ketika orang ramai bergerak ke arah tempat perhimpunan.

Pengarah hospital di Parwan, Abdul Qasim Sangin berkata, wanita dan kanak-kanak antara mangsa yang terbunuh dan 32 lagi cedera.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Nasrat Rahimi berkata, Presiden Ghani tidak cedera dalam kejadian itu.

Dalam kenyataan yang diedarkan kepada media, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid berkata, serangan itu bertujuan menggugat pilihan raya dijadual 28 September ini.

“Kami sudah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menghadiri perhimpunan pilihan raya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 7:17 AM