ANGGOTA penyelamat Senegal bersiap sedia bagi operasi mencari dan menyelamat. FOTO AFP
AFP

DAKAR: Sekurang-kurangnya empat orang maut dan tiga hilang selepas sebuah kapal yang membawa puluhan pelancong terbalik dipukul ribut kuat di Senegal, kata pihak berkuasa dan perkhidmatan kecemasan, hari ini.

Kapal terbabit membawa 24 penduduk Senegal, enam warga Perancis, dua dari Jerman, dua rakyat Sweden dan seorang dari Guinea-Bissau ketika hujan lebat dan banjir besar melanda, kata ketua jabatan bomba, Papa Angel Michel Diatta.

Identiti dan kewarganegaraan mangsa masih belum dapat dikenal pasti.

Kapal berkenaan menuju ke pulau Madeleine, tapak taman negara terkenal dengan kedatangan pelancong yang melancong dari Dakar, ibu kota Senegal di Afrika Barat.

Kapal itu tenggelam dalam hujan tropika kuat dan ombak tinggi, kata pihak berkuasa sambil menambah, perkhidmatan kecemasan meneruskan pencarian mereka, hari ini.

“Terdapat empat mayat dan antara tiga dan empat orang masih hilang dari kapal yang membawa 35 penumpang. Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini,” kata Menteri Dalam Negeri, Aly Ngouille Ndiaye kepada AFP melalui telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 10:01 PM