SARAH perenang maraton. FOTO/REUTERS
Reuters

LONDON: Seorang perenang maraton Amerika Syarikat, Sarah Thomas menjadi individu pertama berenang menyeberangi Selat Inggeris berulang alik sebanyak empat kali tanpa henti.

Wanita berusia 37 tahun yang berasal dari Colorado itu mengambil masa 54 jam untuk menamatkan renangan berkenaan dan hanya mengambil minuman tenaga.

Sarah mencipta rekod berkenaan selepas setahun menerima rawatan untuk kanser payudara dan menghadiahkan kejayaannya itu kepada pesakit kanser yang lain.

Dia naik ke pantai berhampiran Dover, selatan England pada pagi semalam dalam keadaan keletihan dan sakit tekak akibat terminum air laut yang masin.

“Saya hanya rasa kebas. Ramai yang menyambut saya di pantai. Saya tak sangka kami mampu lakukannya,” katanya kepada BBC dengan suara yang serak.

Secara teori Sarah sepatutnya berenang sejauh 130 kilometer tetapi akibat arus deras di kawasan selat di sebenarnya menempuh perjalanan sejauh 210 kilometer.

Sebelum ini, empat perenang berjaya merentasi selat yang memisahkan England dan Perancis itu sebanyak tiga kali tanpa henti.

Sepanjang renangan itu Sarah hanya mengambil makanan berbentuk cecair.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:52 PM