GAMBAR satelit menunjukkan kerosakan loji penapis di Abqaiq, Arab Saudi. FOTO Agensi
Agensi

WASHINGTON: Kebimbangan kini tercetus kemungkinan berlaku perang antara Iran dengan Amerika Syarikat dan sekutunya selepas Presiden Donald Trump berkata, tenteranya kini sudah bersedia untuk bertindak selepas Iran menegaskan ia bersedia menghadapi perang penuh.

Kenyataan kedua-dua pihak itu dibuat selepas serangan terhadap kemudahan minyak Arab Saudi menyasar loji penapis di Abqaiq dan telaga minyak Kuraish.

Semalam, Trump melalui Twitter berkata, ‘ada alasan kukuh’ Rumah Putih tahu siapa melakukan serangan itu dan tentera Amerika kini bersedia untuk bertindak.

Menurutnya, Amerika menunggu maklum balas dari Riyadh ‘yang tahu siapa melakukan serangan dan terma untuk tindakan diteruskan.’

Iran menafikan terbabit dalam serangan itu dengan pemberontak Houthi sokongan Iran di Yaman, mengaku bertanggungjawab.

Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo, yang menyalahkan Iran terhadap serangan dron itu berkata, ‘tiada bukti menunjukkan serangan datang dari Yaman.’

Menurut Daily Mail, pegawai kanan Amerika menampilkan gambar satelit bagi menyokong dakwaan terhadap Iran itu.

Imej terbabit menunjukkan impak serangan selari dengan serangan datang dari arah Iran, bukannya dari arah Yaman di selatan.

Selain itu, peralatan, termasuk peluru berpandu serta dron yang jatuh akibat tidak sampai ke sasaran ditemui di barat daya kemudahan minyak terbabit dan sedang dianalisa oleh agensi perisikan Arab Saudi dan Amerika.

Pegawai Amerika mendakwa Iran melancarkan hampir sedozen peluru berpandu jarak sederhana dan lebih 20 dron dari wilayahnya pada hari serangan terhadap kemudahan minyak Arab Saudi itu.

Serangan terhadap dua kemudahan minyak terbesar dunia itu menyebabkan Arab Saudi hilang kemampuan memproses sehingga 5.7 juta tong sehari iaitu lima peratus bekalan minyak dunia.

AFP melaporkan, Pengawal Revolusi Iran dalam kenyataan, menegaskan negara itu bersedia menghadapi ‘perang skala penuh.’

Pemerintah pasukan itu, Brigediar Jeneral Amir Ali Hajizadeh, sekali lagi menegaskan semua pangkalan tentera dan armada perang Amerika di Asia Barat berada dalam jangkauan peluru berpandu Iran iaitu 2,000 kilometer.

“Tiada antara kami, sama ada Iran atau Amerika mahukan peperangan. Namun, apabila tentera kedua-dua pihak berada dekat, konflik boleh tercetus akibat salah faham.

“Kami sentiasa bersedia untuk perang skala penuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:22 AM