POLIS bertempur dengan pelajar yang berhimpun di pejabat gabenor Riau di Pekanbaru bagi mendesak kerajaan bertindak tegas memadamkan kebakaran hutan yang menjadi punca jerebu teruk. FOTO AFP
Agensi

JAKARTA: Sebanyak 23 penerbangan pesawat milik Lion Group terpaksa dilencongkan ke Balikpapan susulan jerebu teruk di Lapangan Terbang APT Pranoto, Samarinda, Kalimantan Timur, semalam.

Kompas melaporkan, jarak penglihatan yang hanya sejauh 200 meter menyebabkan syarikat terbabit mengalihkan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Aji Muhammad Sulaiman Sepinggan.

Ia membabitkan penerbangan pesawat Lion Air, Wings Air dan Batik Air yang berlepas dari dan menuju Balikpapan, Surabaya, Yogjakarta, Denpasar dan Tangerang.

“Penerbangan dari dan menuju ke Samarinda terpaksa dipindahkan ke Balikpapan,” kata jurucakap Komunikasi Korporat Strategik Lion Air Group, Danang Mandala Prihantoro.

Katanya, pengalihan lokasi operasi penerbangan membabitkan seluruh penerbangan domestik dan akan berterusan sehingga dimaklumkan kemudian.

Ia adalah langkah sementara yang diambil oleh syarikat terbabit sebelum menunggu cuaca pulih seperti biasa.

Sementara itu, seramai 300 pelajar sekolah di Kota Palangkaraya, tengah Kalimantan dilaporkan mengalami jangkitan pernafasan akibat jerebu sebelum ia diarahkan tutup selama tiga hari bermula semalam.

Guru Besar Sekolah SDN 1 Menteng, Deni berkata, semua pelajar diberi cuti selama tiga hari. Berdasarkan maklumat kami, seramai 300 orang pelajar mengalami masalah pernafasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:18 AM