JEREBU menyelubungi masjid di Palangkaraya, Kalimantan tengah.
AFP

JAKARTA: Pihak berkuasa Indonesia menahan seramai 185 individu dipercayai terbabit dalam pembakaran hutan di negara itu, kata polis hari ini.

Jurucakap polis, Dedi Prasetyo pada sidang media berkata, empat syarikat turut dalam siasatan.

“Polis akan bertindak mengikut undang-undang terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah membakar hutan dan tanah, tanpa mengira sama ada sengaja atau cuai.

“Ini langkah terakhir dan paling penting adalah pencegahan,” katanya.

Semalam, syarikat penerbangan Lion Air dalam satu kenyataan berkata terpaksa membatalkan kira-kira 160 penerbangan di Kalimantan kerana jerebu tebal yang sudah memasuki tahap bahaya.

Garuda turut membatalkan puluhan penerbangannya di rantau itu.

Sementara itu, pihak berkuasa Indonesia menyatakan hampir 150,000 orang dirawat mengalami jangkitan saluran pernafasan akut yang dikaitkan dengan jerebu sejak beberapa bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:33 PM