Agensi

SRINAGAR, INDIA: Tentera India datang ke rumah Bashir Ahmed Dar di selatan Kashmir sebulan lalu, beberapa hari selepas kerajaan melucutkan hak autonomi wilayah berkenaan dan mengenakan perintah berkurung serta menahan ratusan aktivis.

Mereka mengheretnya keluar dari rumah dan dibawa ke satu kem tentera.

Dalam tempoh 48 jam, tukang paip berusia 50 tahun itu menjadi mangsa belasahan tentera ketika soal siasat, mendesaknya memberitahu lokasi adik lelakinya yang didakwa menyertai pemberontak.

Menurut Bashir, dia dipukul dengan kayu oleh tiga tentera sehingga pengsan.

Apabila sedar, dia mendapati dirinya sudah berada di rumah, tidak boleh duduk akibat punggung luka dan lebam selain sakit belakang.

Namun, penderitaannya belum berakhir kerana empat hari kemudian, tentera kembali ke rumahnya di perkampungan Heff Shirmal, merosakkan bekalan makanan keluarganya dengan menabur baja serta mencurah minyak tanah ke dalam beras serta makanan lain.


SEORANG penduduk Kashmir dirawat di dalam masjid selepas cedera akibat tembakan peluru bebola besi oleh tentera India selepas solat Jumaat, 13 September lalu. - Reuters

Menurut Al Jazeera, kejadian menimpa Bashir itu tidak dianggap luar biasa kerana melalui lebih 50 temuramah, penduduk di puluhan kampung memberitahu tentera sering menyerbu rumah mereka sejak kerajaan melaksanakan perintah berkurung pada 5 Ogos lalu.

Menurut mereka, tentera membelasah serta mengenakan kejutan elektrik, memaksa penduduk makan lumpur atau minum air kotor, meracun makanan serta membunuh ternakan dan mengancam mengambil atau mengahwini saudara-mara wanita.

Tentera India menafikan dakwaan tidak berperikemanusiaan anggotanya itu.

dihantar ke penjara di Agra, utara India.

Peniaga roti, Sonaullah Sofi, mendakwa anak lelakinya dibelasah tentera India dalam kedai mereka.

Sonaullah yang tinggal di Parigam berkata, mereka sekeluarga sedang tidur apabila tentera menyerbu masuk, mengheret dua anak lelakinya keluar ke jalan raya sebelum dibelasah dengan bahagian belakang senapang, rantai besi dan kayu.

“Saya hanya mampu mendengar mereka menjerit akibat dipukul tanpa belas kasihan di tengah jalan,” katanya.

Tentera kemudiannya membawa 10 lagi lelaki muda ke tengah kampung, mengumumkan mencari penunjuk perasaan anti-India.

Anak Sonaullah, Muzaffar Ahmed, 20, yang menjadi mangsa kekejaman tentera India pada 7 Ogos lalu, berkata: “Mereka membelasah belakang dan kaki kami selama tiga jam. Kami dikenakan kejutan elektrik.”

“Jeritan kesakitan dan rayuan belas ihsan kami menjadikan mereka semakin bersemangat, memukul kami lebih kuat. Mereka memaksa kami makan tanah dan minum air longkang,” katanya yang menunjukkan kesan terbakar dan lebam pada tubuh.

Menurut Muzaffar, tentera meninggalkan mereka ketika subuh. Dia dan abang bersama mangsa lain dihantar ke hospital di Srinagar.

Sejak sebulan lalu, sekurang-kurangnya 3,000 sudah ditahan, sebahagian besarnya lelaki muda. Seramai 120 orang sudah didakwa melalui Akta Keselamatan Awam yang membenarkan penahanan selama dua tahun tanpa perbicaraan.

Ribuan lagi ditahan dalam lokap polis atau pusat tahanan sementara untuk ditapis sebelum dihantar ke penjara.

Ada yang dibebaskan namun perlu melapor diri setiap beberapa hari, sebahagian lagi hanya ditahan pada siang hari dan keluarga diarah membawa mereka kembali keesokan hari untuk ditahan lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:37 AM