ERRAMATI kini dirawat akibat diserang angin ahmar selepas lahirkan bayi kembar melalui IVF pada usia 74 tahun. FOTO Agensi
Agensi

NEW DELHI: Wanita yang mencipta rekod dunia selepas menyambut cahaya mata pertama pasangan kembar pada usia 74 tahun, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) di Andra Pradesh, India akibat angin ahmar.

Daily Mail melaporkan, Erramati Mangayamma dikatakan mengalami masalah itu selepas melalui proses bersalin selama tiga jam.

Pada masa sama, suaminya, Sitarama Raja Rao, 82, turut dilaporkan mengalami serangan jantung dan ditempatkan unit sama di pusat jagaan di Guntur itu.

Pasangan itu menunggu selama 57 tahun sebelum akhirnya berjaya mendapatkan cahaya mata menerusi kaedah IVF pada 5 September lalu dan dianggap satu keajaiban dalam dunia perubatan.

Erramati dimasukkan ke hospital sebaik disahkan hamil pada Januari lalu dan keadaannya dipantau secara berterusan oleh pakar jantung, sakit puan serta nutrisi sepanjang kehamilannya, lapor The Telegraph.

Selepas melahirkan pasangan kembar itu menerusi pembedahan Raja Rao dilaporkan berkata: “Saya kini bapa kepada dua anak perempuan.”

Dia pengsan sehari kemudian dan dirawat di hospital, tetapi dilaporkan mengaku pasrah dengan masa depan anaknya jika sesuatu yang tidak diingini berlaku kepadanya dan isteri.

“Semuanya di tangan tuhan,” katanya.

Sementara itu, Dr Sanakayyala Umashankar yang merawat mereka berkata, Erramati mengalami tekanan akibat proses bersalin dan ditempatkan di unit terbabit sejak lebih seminggu lalu.

Keadaan kesihatan mereka terkini tidak didedahkan, namun The Times memetik seorang anak saudara, Lakshmi Bhia berkata, kedua-duanya stabil manakala anak mereka juga sihat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:31 AM