ASAP dilihat berikutan kebakaran di kemudahan Aramco di bandar Abqaiq timur, Arab Saudi. FOTO Reuters
Reuters

RIYADH: Serangan terhadap loji penapis dan telaga minyak Arab Saudi kelmarin, dijangka mempengaruhi harga minyak dunia berikutan ia menjejaskan lebih separuh pengeluaran minyak harian negara itu atau lebih lima peratus bekalan dunia.

Kesan serangan itu menjejaskan pengeluaran minyak Saudi Aramco sehingga 5.7 juta tong sehari.

Pemberontak Houthi di Yaman mengaku bertanggungjawab melakukan serangan menggunakan 10 dron terhadap loji penapis terbesar dunia di Abqaiq dan telaga minyak Khurais

Loji di Abqaiq memproses minyak mentah dari telaga minyak terbesar dunia, Ghawar dan menyalurkannya untuk eksport ke terminal Ras Tanura.

Dua kemudahan itu masih terbakar semalam, namun api sudah berjaya dikawal.

Harga minyak mentah dunia boleh melonjak beberapa dolar setong apabila pasaran di buka hari ini dan jika bekalan berpanjangan terjejas, Amerika Syarikat serta negara lain akan mengeluarkan stok simpanan minyak mereka bagi menstabilkan harga.

Jabatan Tenaga Amerika menyatakan ia bersedia mengeluarkan stok simpanan strategiknya jika perlu.

Aramco mengeksport lebih tujuh juta tong sehari minyak dunia dengan tiga per empat untuk pelanggan di Asia.

Menurut nota Kumpulan Tenaga Rapidan, Arab Saudi mempunyai 188 juta tong minyak simpanan atau 37 hari kemampuan Abqaiq memproses yang dipegang Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak.

Menurut kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Aramco, tiada kecederaan atau kematian dalam serangan itu.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman yang baru dilantik minggu lalu berkata, Aramco akan mempunyai maklumat lengkap dalam masa 48 jam dan akan mengeluarkan stok simpanan bagi menggantikan kekurangan itu.

Agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA, melaporkan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menghubungi Presiden Donald Trump, memberitahu pihaknya mempunyai kemampuan untuk menghadapi dan menangani serangan pengganas.

Setiausaha Negara Amerika, Mike Pompeo, menuduh Iran melakukan serangan itu dengan pemberontak Houthi mengaku bertanggungjawab.

Menurut Pompeo melalui Twitter, tiada bukti serangan itu datang dari Yaman.

“Teheran bertanggungjawab terhadap 100 serangan di Arab Saudi tetapi Rouhani dan Zarif berpura-pura berdiplomasi,” katanya merujuk kepada Presiden Iran Hassan Rouhani dan Menteri Luar Mohammed Javad Zarif.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:22 AM