JEREBU tebal menyelubungi Sampit, Kalimantan Tengah semalam. FOTO Reuters

JAKARTA: Lebih 50 penerbangan di Indonesia terpaksa ditunda atau dibatalkan semalam, susulan keadaan jerebu yang semakin buruk hingga menjejaskan jarak penglihatan untuk pesawat melakukan penerbangan.

Kompas melaporkan, keputusan itu dibuat oleh beberapa syarikat penerbangan seperti Lion Air, Wings Air dan Batik Air selepas mendapati jarak penglihatan agak terhad dan tidak memenuhi standard keselamatan penerbangan.

Menurut jurucakap Komunikasi Korporat Strategik Lion Air, Danang Mandala Prihantoro berkata, tindakan yang diambil itu mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan ia sudah dimaklumkan kepada penumpang mereka.

“Lion Air Group akan membantu penumpang untuk memudahkan mereka melakukan pengembalian wang dan mengatur jadual penerbangan lebih sesuai dengan mengambil kira situasi sekarang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebahagian besar Kalimantan Selatan diselubungi asap yang semakin tebal akibat kebakaran hutan dan tanah pertanian.

Tinjauan Kompas di Kabupaten Banjar kira-kira jam 10 pagi semalam mendapati jarak penglihatan hanya 5 meter manakala pintu gerbang yang tertulis ‘Selamat Datang di Bumi Tuntung Pandang’ hampir tidak kelihatan.

Pengguna jalan raya terpaksa berhati-hati dengan menghidupkan lampu ketika menunggang motosikal dan memandu kenderaan sambil diawasi oleh beberapa anggota polis yang mengawal lalu lintas.

Satu rakaman video turut menjadi tular apabila seorang wanita yang menunggang motosikal secara tiba-tiba menjadi lemas di tengah jalan sebelum dibantu oleh petugas kesihatan di lokasi.

Manakala di Pekanbaru pula, orang ramai kelihatan berpusu-pusu untuk mendapatkan rawatan percuma yang disediakan oleh unit polis trafik dan kebanyakannya mengadu mengalami sesak nafas dan batuk.

“Cukup ramai yang memanfaatkan rawatan percuma ini.

“Kebanyakan mereka mengadu mengalami kesukaran bernafas serta batuk disebabkan asap yang semakin tebal dalam tempoh beberapa hari ini,” kata jurucakap polis, Emil Eka Putra. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 8:14 AM