FOTO HIASAN.
AFP

DHAKA: Dua anggota polis Bangladesh diambil tindakan selepas keluarga mangsa rogol mendakwa dipaksa berkahwin dengan salah seorang suspek di balai polis, kata pihak berkuasa.

AFP melaporkan, mangsa yang juga ibu anak tiga itu menuduh lima lelaki mengurungnya dalam bilik dan melakukan serangan seksual beberapa kali antara 29 Ogos dan 31 Ogos di utara daerah Pabna.

Bagaimanapun salah seorang ahli keluarga memberitahu akhbar tempatan, Daily Star bahawa anggota di balai polis terbabit memaksa mangsa menandatangani surat untuk perceraian dan berkahwin dengan suspek utama.

Mangsa didakwa dikahwinkan ketika kali pertama dia cuba membuat aduan minggu lalu.

Timbalan ketua polis Pabna, Mohammad ibne Mizan berkata, perkahwinan itu dilihat sebagai usaha untuk menghalang suspek daripada didakwa.

“Kita sudah menggantung polis terbabit kerana membantu merancang perkahwinan antara mangsa dan suspek utama yang merogolnya.

“Kita juga sudah menggantung pegawai bertugas di balai polis Pabna Sadar kerana membenarkan perkahwinan dilakukan di kawasan balai,” katanya.

Katanya, empat lagi yang dikaitkan dengan serangan itu termasuk tiga suspek yang sudah ditahan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 1:44 AM