TENTERA Israel berdiri di penjara lama yang menghadap Lembah Jordan antara bandar Israel Beit Shean dan bandar Tebing Barat. FOTO AFP
Agensi

BAITULMAQDIS: Jika Israel meneruskan rancangan merampas satu pertiga Tebing Barat yang dijajahnya, ia berkemungkinan besar meruntuhkan usaha damai Israel-Palestin melalui penyelesaian dua negara.

Semalam, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang terdesak untuk memenangi pilihan raya pada 17 September ini, mengumumkan ikrar untuk merampas Lembah Jordan jika beliau kembali terpilih sebagai perdana menteri.

Tindakannya itu dikecam antarabangsa, termasuk Liga Arab dan Arab Saudi yang menganggapnya sebagai ‘amat berbahaya.’

“Hari ini, saya mengumumkan hasrat saya, selepas menubuhkan kerajaan baru, akan meletakkan kedaulatan Israel di Lembah Jordan dan utara Laut Mati.


LELAKI Palestin, Ali Farun, 74, berdiri berhampiran tembok Israel di penempatan Yahudi di bandar al-Eizariya, Tebing Barat. FOTO Reuters

“Langkah itu akan dilakukan segera selepas pilihan raya jika saya menerima mandat penuh untuk melakukannya daripada anda, rakyat Israel,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui televisyen.

Beberapa jam selepas membuat pengumuman itu, sistem pertahanan udara Israel memintas beberapa roket dari Gaza yang didakwa Zionis dilancarkan Hamas.

Anggota keselamatan bergegas menarik turun Netanyahu dari pentas ketika satu acara di sini, apabila siren serangan udara berbunyi.

Menurut AFP, Israel melancarkan serangan udara terhadap 15 sasaran Hamas di Gaza selepas roket berkenaan dilancar terhadap bandar Ashdod.


NETANYAHU menunjukkan peta kawasan yang mahu dirampas ketika sidang media di Ramat Gan, Tel Aviv, semalam. FOTO AFP

Kawasan yang mahu dirampas Netanyahu itu meliputi Lembah Jordan dan utara Laut Mati bersempadan dengan Jordan, iaitu kira-kira satu pertiga Tebing Barat, seluas kira-kira 2,400 kilometer persegi.

Menurut Netanyahu, bersama Bukit Golan (yang ditawan daripada Syria), kawasan di Tebing Barat itu akan menjadi sempadan timur Israel yang bakal menjadi ‘sempadan semula jadi’ kerana Sungai Jordan memisahkan Jordan dengan Israel.

Sungai itu mengalir dari Laut Galilee sepanjang 298 kilometer memasuki Laut Mati, menjadikannya aset strategik keselamatan dan menghalang penyeludupan senjata ke Tebing Barat.

Kawasan yang hendak dirampas itu juga berpotensi dibangunkan untuk pertanian dan projek tenaga. Laut Mati menarik pelancong manakala garam dan galian lain dilombong di situ.


Netanyahu tidak menyatakan rancangan Israel untuk kawasan terbabit serta apa akan berlaku terhadap lebih dua juta penduduk Palestin.

Israel menawan Tebing Barat dari Jordan ketika Perang 1967 dan berikutan masyarakat antarabangsa menganggap ia sebagai jajahan Israel, pembinaan penempatan Yahudi di situ adalah penempatan haram.

Namun, Israel sudah membina 200 penempatan untuk 11,000 Yahudi di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. Tebing Barat termasuk dalam syarat Palestin bagi penyelesaian dua negara iaitu penubuhan negara Palestin dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:56 AM