RUMAH penduduk Palestin di Tebing Barat dirobohkan tentera Israel semalam, kerana dibina tanpa permit. FOTO AFP
Agensi

BAITULMAQDIS: Liga Arab termasuk Arab Saudi mengecam tindakan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mahu merampas satu pertiga Tebing Barat sebagai amat berbahaya, manakala Pihak Berkuasa Palestin (PA) menegaskan ‘semua persetujuan sebelum ini akan terbatal.’

Perdana Menteri Palestin, Mohammad Shtayyeh, menggelar Netanyahu sebagai pemusnah proses damai.

“Wilayah Palestin bukan untuk dijadikan agenda kempen politik Netanyahu,” katanya.

Liga Arab menegaskan tindakan Netanyahu itu memusnahkan semua harapan usaha damai Israel-Palestin.

Arab Saudi menganggap pengumuman Netanyahu itu ‘mencabul undang-undang antarabangsa’ dan ‘provokasi bahaya terhadap penduduk Palestin.’

Al Jazeera melaporkan, Tamer Qarmout, dari Institut Kajian Graduan di Doha, Qatar, berkata, jika hasrat Netanyahu itu dilaksanakan, ia akan memulakan fasa baru dalam konflik Israel-Palestin dan memusnahkan sebarang harapan penyelesaian dua negara.

“Proses damai sebenarnya sudah mati ‘secara klinikal.’ Jika hasrat Netanyahu dilaksanakan, ia mengesahkan kematian itu,” katanya.

Middle East Monitor (MEM) melaporkan, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, jika Israel merampas Tebing Barat, semua persetujuan yang ditandatangani sebelum ini, akan terbatal.

“Semua persetujuan dan hasil yang dicapai selama ini akan berakhir, jika Israel merampas Lembah Jordan, utara Laut Mati atau sebarang kawasan wilayah Palestin yang ditawan pada 1967,” kata Abbas dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita Palestin, WAFA.

Beliau menegaskan penduduk Palestin ‘berhak mempertahankan hak kami dan mencapai hasrat kami dengan apa saja cara walau apa pun akibatnya.’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 7:39 AM