HABIBIE memegang jawatan presiden paling singkat iaitu selama 17 bulan dari Mei 1998 hingga Oktober 1999. FOTO/AGENSI
Agensi

JAKARTA: Presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie memegang jawatan presiden paling singkat iaitu selama 17 bulan dari Mei 1998 hingga Oktober 1999.

Habibie menggantikan tempat Suharto pada 21 Mei 1998 selepas beberapa bulan mengalas tanggungjawab sebagai naib presiden mantan pemimpin itu.

Meskipun tempoh kepimpinan Habibie singkat, banyak perubahan dilakukan beliau terhadap republik itu.

Pada Januari 1999, beliau mencetuskan kontroversi apabila membenarkan Timor Timur melakukan referendum dan memilih sama ada mahu terus bergabung dengan Indonesia atau merdeka.

Timor Timur kemudian berpisah dengan Indonesia selepas rakyatnya mengundi untuk merdeka dan akhirnya mencapai kemerdekaan pada 20 Mei 2002 selepas dikelola oleh United Nations Transitional Administration in East Timor (UNTAET), lapor BBC.

Menurut Reuters, Habibie turut dikenali dengan usahanya untuk membangunkan Indonesia sebagai negara berteknologi tinggi dan membina industri pesawat kebangsaan.

Habibie, 83, meninggal dunia pada jam 6 petang waktu tempatan, semalam.

Kisah hidup bekas jurutera itu dibawa ke layar perak menerusi filem berdasarkan buku Habibie & Ainun (2012) diikuti prekuel Rudy Habibie pada 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 12:08 AM