PENDUDUK mengadakan solat sunat Istisqa untuk memohon hujan. Foto detikcom
Agensi

JAKARTA: Keadaan udara buruk akibat kebakaran hutan menyebabkan penduduk di beberapa kawasan di Borneo dan Sumatera mengadakan solat sunat Istisqa untuk memohon hujan.

Di Riau, ribuan penduduk dan pegawai kerajaan memenuhi pekarangan pejabat daerahnya di Pekanbaru.

Wakil Gabenor, Edi Natar Nasution dipetik Tribun News berkata: “Tanpa mencari siapa yang benar atau salah, mari kita meminta ampun kepada Allah dan berdoa bersama-sama supaya hujan segera turun di wilayah Riau.”

Antara News melaporkan, Indeks Pencemaran Udara di Pekanbaru semalam mencapai 111 seterusnya diklasifikasikan sebagai tidak sihat, dengan jarak penglihatan antara 800 hingga 1,000 meter.

Menurut laporan, sekolah di beberapa kawasan di Riau turut ditutup disebabkan jerebu tebal.

Sementara itu, solat Istisqa turut diadakan penduduk di Palangka Raya dan Sampit, Kalimantan Tengah, di mana kualiti udara semakin buruk sejak tiga hari lalu.

Republika memetik Timbalan Ketua Polis Sampit, Endro Wibowo berkata: “Usaha memadamkan kebakaran hutan sudah kita lakukan bersama, selain pelbagai cara lain sama ada dari segi undang-undang atau usaha penduduk.

“Namun ia masih berlaku. Jadi ini juga satu bentuk ikhtiar untuk berserah diri dan mendoakan supaya hujan turun.”

Penduduk kawasan perumahan Bangas Permai di Palangka Raya mengadakan solat Istisqa berjemaah di padang berhampiran masjid manakala di Sampit, ia turut diadakan semalam di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kotawaringin.

Gambar disiarkan media menunjukkan jemaah solat memakai topeng manakala keadaan di sekeliling nampak kabur akibat udara tidak bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 7:53 PM