SEEKOR caiman berlawan dengan anakonda. FOTO/AGENSI
Agensi

BRASILIA: Seorang jurugambar bernasib baik apabila berpeluang merakam pertarungan antara seekor caiman dan anakonda di kawasan paya hutan Amazon.

Kevin Dooley, 58, berkata, dia sedang makan tengah hari dalam bot di paya di Pantanal, Brazil, itu apabila kebetulan melihat ular sepanjang lapan meter membelit seekor caiman, iaitu spesies buaya paling kecil.

Menurut Mail Online, Dooley berkata, caiman berkenaan membalas dengan menggigit leher ular itu, tetapi ia nampak parah malah semua kakinya dipatahkan anakonda berkenaan.

Ular itu kemudian meninggalkan mangsanya untuk mati.

“Memang saya tidak percaya apa yang dilihat. Saya terdengar air berkocak dan melihat dua haiwan buas itu bergelut hanya sembilan meter dari bot saya.

“Semuanya berakhir dalam hanya lapan minit. Memang saya amat bertuah walaupun rasa sedikit simpati terhadap caiman berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 1:25 AM