GAMBAR hiasan
AFP

MADRID: Seorang lelaki maut ditanduk seekor lembu jantan semalam, menjadikan mangsa orang kedua terbunuh dalam pada festival larian lembu di negara itu dalam tempoh kurang dua minggu, kata pihak berkuasa.

Insiden berkenaan berlaku ketika acara larian lembu jantan di pekan Horche, kira-kira 60 kilometer di timur laut Madrid.

Menurut pasukan kecemasan tempatan, haiwan terbabit menanduk mangsa yang berusia 82 tahun itu di bahagian perut dan paha.

Mangsa dibawa ke hospital berdekatan menggunakan ambulans namun meninggal dunia tidak lama kemudian.

Media tempatan melaporkan, mangsa hanya menonton acara itu dari jauh, sebelum kejadian ngeri itu berlaku.

“Saya hanya melihat mangsa apabila dia sudah terbaring di tanah. Ia amat menakutkan,” kata datuk bandar, Jose Manual Moral kepada media.

Acara berkenaan bagaimanapun akan diteruskan hari ini dan esok sebagai sebahagian daripada festival.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 10:06 AM