PEJUANG Syiah Iraq mengawal di wilayah Albu Kamal dekat sempadan Iraq. - AFP
AFP

BEIRUT: Seramai 18 anggota kumpulan bersenjata pro-Iran terbunuh akibat serangan udara timur Syria malam kelmarin.

Menurut Pertubuhan Pemerhati Hak Asasi Syria berpangkalan di Britain, tidak dapat dipastikan pihak yang melakukan serangan di wilayah Albu Kamal dekat sempadan Iraq itu.

Kawasan yang sebelum ini dikuasai Daish itu kini dikuasai kumpulan bersenjata Kurdish sokongan Amerika Syarikat serta kumpulan sekutu rejim Damsyik yang disokong Russia dan Iran.

Pada Jun 2018, serangan udara berdekatan sempadan Iraq membunuh 55 anggota pro-kerajaan Syria, sebahagian besarnya rakyat Syria dan Iraq.

Amerika menyatakan Israel melakukan serangan itu namun rejim Zionis enggan mengesahkannya.

Israel melakukan ratusan serangan udara terhadap sasaran di Syria, mendakwa ia kedudukan kumpulan bersenjata Lubnan, Hizbullah dan tentera Iran.

Semalam, Israel menyatakan beberapa roket ditembak ke wilayahnya dari Syria, mendakwa dilakukan kumpulan bersenjata sokongan Iran namun tidak mengenai sebagai sasaran.

“Roket dilancarkan dari pinggir Damsyik ke arah Israel,” kata kenyataan tentera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 6:45 AM